LIKE lah Kalau Suka...XD

Sunday, 13 May 2012

Tegur member, biar kena gayanya


Aduh! Mulutnya berbau? Rambutnya penuh kelemumur? Atau perangainya gedik semacam? Lekas, beritahu sahabatmu agar segera meriasa diri! Namun, apakah cara terbaik untuk menegur sahabatmu itu, agar si dia tidak ‘sentap’ ataupun terasa hati dengan teguranmu itu? Sebagai sahabat, kamu tidak boleh berdiam diri, sebaiknya kamu perlu lakukan sesuatu agar sahabatmu boleh berubah. Jadi, kamu boleh mencuba untuk mengikuti beberapa cara cara yang disenaraikan ini untuk menegur sahabatmu itu agar berubah dan dalam masa yang sama persahabatanmu tidak terjejas...

Tentukan masa yang sesuai

Sebagai seorang teman yang rapat, tentu kamu mengetahui mood rakanmu itu berada pada tahap yang mana. Jangan pula kamu menegur bulu hidungnya ‘menjalar keluar’ di kala kamu sedang menjamu selera di hadapan rakan-rakan yang lain. Ia mungkin akan membawa situasi tegang di antara kamu dengannya. Moodnya pasti berubah, si dia tentunya berasa kurang senang dan tidak selesa dengan teguranmu yang kamu buat itu. Sebolehnya, jangan malukan dia di hadapan rakanmu yang lain. Cuba cari waktu yang sesuai untuk menegurnya dan semuanya tentunya berkait rapat dengan faktor masa, situasi, dan moodnya pada ketika itu. Kamu boleh meluahkan teguranmu itu semasa sedang santai di rumah, atau ketika kamu berduaan saja dengannya. Pastinya si dia juga tidak akan berasa malu dengan wajah comotnya sebelum ini, malah akan lebih respect dengan kamu kerana peka dengan penampilannya!

Teliti segala kemungkinan bakal timbul!

Sebelum memulakan langkah untuk menegurnya, adalah lebih bijak kamu senaraikan dahulu apa yang perlu dan tidak perlu kamu beritahunya. Kadang kala ada buah fikirannya mu yang langsung tidak masuk akal dan inilah sebabnya mengapa kamu perlu senaraikan terlebih dahulu apa yang ingin kamu beritahunya. Oleh itu, kamu juga boleh membuat penilaian sendiri terlebih dahulu sebelum kamu menegurnya secara membabi buta. Contohnya, kamu ingin sahabatmu itu mencuci tandas secara bergilir-gilir dengan teman serumah yang lain. Jika perlu, senaraikan tugas dan hari dia perlu mencuci tandas. Ini penting kerana ia akan menguatkan lagi teguranmu itu, dan dalam masa yang sama ia boleh mengelakkan wujudnya ‘bias’ dalam pembahagian tugasan. Malah, dengan adamya senarai tugas ini juga, ia boleh mengelakkan rakan-rakanmu bertelagah dan bertelingkah sesama sendiri. Sebolehnya, biar dia tahu bahawa kamu tegurnya bukan untuk bergaduh.

Tegur dengan tujuan yang baik

Tujuan kamu menegur seseorang itu adalah eleman terpenting yang perlu kamu fikirkan sebelum meluahkan apa sahaja yang terbuku dihatimu padanya. Ia juga berkait rapat dengan cara kamu menegurnya, isu yang ingin kamu tegur dan sejauh mana teguranmu itu akan memberi impak kepada hubungan kamu berdua. Mungkin ada antara kamu bertindak menegurnya secara ala kadar, hentam kromo dan main cakap saja. Ha… jika ini caramu. Sudah tentu sahabatmu itu akan berkecil hati atau mungkin juga si dia merasakan bahawa kamu hanya menegurnya sekadar suka-suka saja. Sebolehnya, kamu cuba tegurnya dengan cara yang matang. Paling mudah, cuba kamu terangkan kesan daripada perangai buruknya itu. Misalnya sahabatmu itu seorang yang pengotor. Kamu perlu terangkan kesan buruk yang bakal timbul ekoran dari sikapnya itu. Antaranya rakan-rakan sekelas mengumpat, rakan serumah ‘geli’ dan cuba menjauhkan diri daripadanya. Hal ini pasti akan membuka mata rakanmu itu untuk segera berubah. Siapa yang mahu dirinya menjadi bahan umpatan bukan?

Tumpukan perhatian

Sebelum membuat sebarang teguran, terlebih dahulu kamu perlu tetapkan dalam fikiranmu supaya hanya memberi tumpuan kepada apa yang ingin kamu tegur saja. Jangan nanti ada hal yang tidak bersangkut paut pun kamu masukkan sekali dalam teguranmu itu. Oleh itu, cuba kawal subjek yang ingin kamu perkatakan dan jangan lupa untuk menegurnya dengan cara yang paling mudah tetapi padat. Misalnya kamu cuba untuk menegur penampilan rakanmu yang sentiasa memadankan tudung bermotifkan bunga dengan baju yang juga bermotifkan bunga. Penampilannya memang nampak serabut dan serba tak kena. Jadi, kamu hanya perlu menegurnya soal pemilihan tudung saja. Cadangkan juga kepadanya agar menggunakan tudung yang warna polos sahaja. Jangan pula kamu menegur perkara yang bukan-bukan seperti penggunaan sepit tudung, tidak perlu memakai tudung dan sebagainya. Hanya tegur apa yang dirasakan perlu sudah memandai.

Buat sebelum terlambat!

Jangan mengambil masa yang terlalu lama untuk membuat teguran. Apatah lagi jika teguran itu bersifat kebaikan. Seeloknya kamu cuba untuk berterus-terang dengan cepat. Namun, seperti yang telah dibincangkan di atas, cepat tidak bermakna membuat teguran yang sambil lewa. Sebaliknya, kamu perlu cepat, tunggu masa yang sesuai dan cuba untuk kawal minda kamu terhadap apa yang ingin diperkatakan. Andainya kamu perapkan teguran kamu terlalu lama, takut pula nanti sahabatmu semakin menjadi-jadi dengan sikap buruknya itu. Misalnya, sahabatmu itu suka membuang putung rokok merata-rata. Sama ada di dalam cawan, bekas pasu, dalam tandas, dan sebagainya. Jangan berlengah lagi untuk menegur perbuatannya itu.

Sindir secara sinis.

Diakui untuk menegur perbuatan sahabat baik sendiri memang menjadi satu masalah besar. Kalau tersalah cakap nantikan si dia akan berkecil hati. Bagaimanapun kamu masih boleh menegurnya dengan cara yang agak sinis. Ia juga boleh mengelakkan kamu daripada menyinggung perasaan sahabatmu secara langsung. Kamu boleh menegurnya secara bergurau tetapi mempunyai ‘isi’ yang dalam. Sahabatmu mungkin akan memahami apa yang ingin kamu sampaikan kepadanya. Pun begitu, sebelum menegurnya, pastikan kamu juga tahu cara untuk menyindirnya dan penting juga untuk kamu mengetahui batas ucapan sinismu itu. Takut pula andai hatinya terasa. Tetapi sejauh mana kamu boleh bersabar dengan perangai buruknya?

Tegas!

Selain cara di atas, apa kata cuba cara ini. Tegas! Dalam suatu perhubungan, tidak dinafikan bahawa sifat manja dan mengambil berat sangat sinonim dalam sebuah persahabatan. Namun, jika ada sesuatu perkara yang timbul membuatkan kamu dan sahabat berasa tidak puas hati, kamu boleh meluahkan apa yang terbuku secara terbuka, ada kalanya kamu perlu bersikap tegas. Tegas tidak bererti marah atau kamu perlu meninggikan suara. Sebaliknya kamu tetapkan syarat-syarat tertentu untuk pastikan persahabatan yang terjalin sentiasa harmoni. Misalnya kamu tegur secara tegas tentang sikapnya yang suka berfoya-foya. Beritahunya andai dia masih lagi mahu meneruskan sikapnya yang begitu, putuskan sahaja perhubungan sahabat di antara kamu dengannya. Tegas dalam bersahabat akan membawa kepada sesuatu nilai persahabatan yang jujur dan tidak bermuka-muka. Malah, sifat tegas sepatutnya perlu ada dalam setiap persahabatan yang terjalin itu.

Kesan jangka panjang

Sekiranya dalam hidup seharian, kamu perlu sentiasa memandang ke hadapan untuk lebih berjaya. Begitu juga dalam persahabatan. Kamu perlu menilai sebuah persahabatan itu dengan lebih jauh. Sebelum menegurnya tentang suatu perkara, kamu perlu fikirkan kesan jangka panjang setakat mana hubungan kamu dengannya kelak. Dalam hal ini, kamu perlu berani dalam meluahkan apa yang kamu rasa. Tidak menjadi kesalahan jika kamu menegurnya dan itu terpulang kepadanya untuk menerima teguranmu itu atau sebaliknya. Begitu juga dengan persahabatan kamu, terpulang padanya untuk ingin meneruskan perhubungan sebagai sahabat atau tidak. Jika difikirkan, rakanmu itu mempunyai sikap buruk dan rasanya tidak rugi jika dia ingin memutuskan persahabatan yang sedia terjalin hanya kerana kamu menegur tabiat buruknya itu. Sedangkan kamu menegurnya untuk kebaikan dirinya juga.....

Nilai seorang sahabat

Sahabat umpama isi dan kuku. Saling memerlukan dan tidak boleh berjauhan. Sememangnya nilai seorang yang bergelar sahabat itu tidak boleh diucap dengan kata-kata. Hanya dia yang memahami luar dan dalam. Malah, dia juga yang tahu perangai buruk dan baik kamu. Sahabat juga sambil mengambil berat di antara satu sama lain. Oleh itu, teguran sebenarnya merupakan lumrah kepada sebuah persahabatan yang normal. Tidak ada istilah sahabat yang bermuka-muka, tetapi menikam dari belakang. Individu sedemikian tidak layak untuk didampingi apatah lagi untuk bergelar sahabat. Jika, sikap mengambil berat adalah satu elemen penting dan jika kamu cuba untuk memperbetulkan apa yang dirasakan tidak kena dengan sikap sahabatmu itu, ia sememangnya wajar kamu lakukan. Sahabat yang baik ialah sahabat yang boleh menerima apa saja teguran yang ditujukan kepadanya asalkan kena pada gaya. Oleh itu, jangan stresskan mindamu. Jadilah sahabat sejati dan sudah pasti rakanmu itu juga memahami teguranmu itu adalah demi kebaikan bersama!

0 comments:

Post a Comment

free counters